Setahun Tsunami Asia – 26 Disember 2004


Oleh Azmi Md Deros Gambar Shukor Ibrahim

Esok masih ada, bukan mengalah pada bencana

TRAGEDI 26 Disember 2004 yang mengorbankan banyak jiwa dan memusnahkan harta benda sukar dilupakan. Gulungan ombak penuh lumpur yang tidak mengenal kawan dan lawan masih terpampang di depan mata. Seluruh dunia terkejut dengan fenomena alam yang datang tanpa diduga.
Aceh yang paling teruk dilanda tsunami di Asia turut merubah kedudukannya di peta dunia. Kemusnahan wilayah itu dan kematian beribu-ribu penduduknya menagih simpati dunia. Mencurah-curah bantuan dari seluruh pelusuk dunia dihulurkan untuk mangsa tsunami bukan saja di Aceh tetapi juga di Phuket, Thailand, Sri Lanka, Maldives dan juga Malaysia.

Walaupun setahun tragedi sedih itu berlalu, jeritan mangsa masih terngiang-ngiang. Tangisan ibu yang kehilangan anak bagaikan masih baru kedengaran. Ayah tersendu sendirian menahan sebak. Mereka pasrah kepada Allah. Takdir yang menentukan se gala-galanya. Namun, kehidupan hari esok mesti diteruskan – bukan mengalah kepada bencana dan rintangan.

Terus hidup berhimpit di khemah sempit

ESOK, genap setahun tsunami yang memakan 216,858 korban termasuk 131, 338 warga Aceh, Indonesia. Setelah setahun berlalu, masih ada yang meratapi kehilangan anggota keluarga, harta dan tempat tinggal.

Malah ada yang masih terus mencari dan menjejaki mangsa agar kembali ke pangkuan keluarga walaupun sesetengah bayi dan kanak-kanak sudah diserah atau diambil orang lain.

Yang jelas, tragedi 26 Disember 2004 itu bukan saja meragut nyawa, malah memusnahkan bangunan, bendang dan pelbagai prasarana lain.

Tinjauan terbaru di Aceh mendapati tidak banyak pembangunan semula yang dapat dilihat. Walaupun penempatan semula, termasuk membina rumah berek dan rumah sesebuah sudah dilaksanakan, ramai daripada mangsa masih tinggal di dalam khemah.

RAMLI masih menunggu rumah yang belum siap.
Kerja membaik pulih Masjid Seneubuk Padang, di Calang, Meulaboh, termasuk menggantikan beberapa menara kecil konkrit di atas bumbung bangunan itu yang patah akibat dilanda tsunami sudah disiapkan.

Bagaimanapun, beberapa tiang di dalam masjid itu yang retak dan pecah belum dibaiki lagi, manakala pagarnya yang roboh sepenuhnya belum dibina semula. Kerosakan itu tidak menjejaskan struktur asal masjid yang berusia lebih 80 tahun itu dan masih digunakan penduduk di situ.

Ketika dilanda tsunami pada 26 Disember lalu, suasana di kawasan itu amat menyayat hati kerana tiada apa yang tinggal di sekelilingnya. Bagaimanapun, kini penduduk sekitar kawasan itu sudah membina khemah penempatan sementara di sekelilingnya.

Mengikut kajian Agensi Pembinaan dan Pemulihan (BRR) Tsunami Aceh, sebuah badan penyelaras bantuan, daripada kira-kira 500,000 mangsa yang kehilangan tempat tinggal, lebih 67,000 orang masih mendiami khemah dan kira-kira 50,000 lagi menduduki berek sementara, manakala bakinya menumpang di rumah saudara atau sahabat handai.

Kelewatan pengagihan dana menyebabkan mereka terpaksa berhimpit-himpit dalam khemah yang sempit serta panas pada waktu siang dan sejuk pada waktu malam. Di Aceh Barat, iaitu antara kawa san yang paling teruk terjejas, tinjauan mendapati hanya segelintir daripada mangsa terbabit sudah berpindah ke rumah masingmasing, manakala beribu-ribu lagi terpaksa menunggu giliran yang belum pasti.

Kebanyakan mangsa menyalahkan ke renah birokrasi kerajaan yang lewat mengagihkan peruntukan dan penghantaran barangan pembinaan yang harganya dilaporkan semakin meningkat mendadak berikutan sikap tidak berhati perut orang tengah.

KHEMAH dan berek menjadi tempat tinggal warga Aceh.

Keadaan bertambah teruk apabila perhubungan jalan pantai dari pusat bantuan, iaitu Banda Aceh ke bahagian selatan pantai barat termasuk Meulaboh, Calang dan Teunom terputus akibat gempa bumi dan tsunami.

Jika sebelum ini perjalanan dari Banda Aceh ke Meulaboh dan sebaliknya melalui jalan pantai yang sejauh 247 kilometer (km) hanya mengambil masa enam jam, kini kenderaan terpaksa melalui jalan alternatif yang lebih jauh, iaitu merentasi kawasan pergunungan yang terletak di tengah-tengah kepulauan Sumatera serta melalui Sigli di bahagian timur. Lebih memburukkan keadaan apabila kira-kira 30 km daripada laluan di pergunungan yang curam dan berliku itu tidak diturap dengan tar, sebaliknya hanya jalan tanah merah dan batu kerikil. Keadaan bertambah rumit apabila musim hujan sekarang menyebabkan banyak kenderaan terbenam dan tidak lepas mendaki bukit menyebabkan ia terpaksa ditolak beramai-ramai.

Laluan di pergunungan itu membataskan perjalanan dan hanya kenderaan yang beratnya tidak lebih lima tan saja boleh melalui jalan itu. Ia sekali gus menjejaskan penghantaran bantuan, termasuk bahan binaan ke Meulaboh dan Aceh Barat.

Mereka yang tinggal di Calang dan Teunom di bahagian utara Meulaboh juga tidak banyak bezanya kerana jalan alternatif yang ada berlubang-lubang dan berlopak pada musim hujan sekarang.

Keadaan jalan yang teruk itu menyebabkan perjalanan dari Meulaboh ke Calang mengambil masa enam jam, berbanding hanya dua jam setengah melalui jalan pantai.

Penyelaras Palang Merah Indonesia (PMI) Bagi Sektor Meulaboh, Mulyadi Kamsani berkata, kerajaan sepatutnya turut memberi keutamaan kepada pembinaan semula infrastruktur, terutama jalan raya kerana ia menjadi nadi yang menggerakkan pembangunan dan pemulihan.

ANTARA kesulitan yang dihadapi penduduk Aceh.

Namun beliau menjangkakan kerajaan mungkin mengambil masa beberapa tahun lagi untuk memulihkan jalan pantai Banda Aceh ke Meulaboh kerana hingga kini belum ada tanda-tanda konkrit pembinaan semula laluan itu akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

“Jalan yang runtuh perlu segera diperbaiki, manakala laluan yang dinaiki air perlu dibuat jajaran baru supaya perhubungan darat dapat dipulihkan untuk merangsang pemulihan secara menyeluruh,” katanya.

Berdasarkan keadaan itu, tidak hairanlah masih ramai kanak-kanak, khususnya di Calang terpaksa bersekolah dalam khemah yang mana keadaannya amat menyedihkan.

Penduduk Kampung Seneubok Padang, Calang, Ramli Hassan, 55, berkata walaupun rumahnya mula dibina sejak tiga bulan lalu ia masih belum dapat disiapkan kerana kekurangan bahan binaan.

Berikutan itu, dia dan anak perempuannya Aisyah, 19, terpaksa tinggal dalam rumah yang hanya berdindingkan plastik.

Jika dulu Ramli tidak senang duduk diam kerana berhempas pulas bersama isterinya, Saadiah Roslan mencari rezeki dengan berniaga pakaian dan menanam pisang untuk membesarkan enam anaknya, dia kini tidak mampu bekerja kerana penyakit paru-paru akibat dimasuki air lumpur yang kotor ketika bergulung-gulung dalam ombak tsunami setahun lalu.

Kini dia terpaksa bergantung hidup kepada Aisyah, satu-satu anaknya yang masih hidup. Bencana berkenaan turut mengorbankan isterinya. “Tsunami mengambil segala-galanya. Saya kehilangan saudara mara serta lima lagi anak dan isteri, malah kecederaan yang saya alami ini menyebabkan saya tidak berdaya lagi bekerja.

“Hasil kerja keras saya dan isteri kami mampu membina sebuah rumah batu yang agak besar dan selesa berharga hampir Rp120 juta dan membeli sebuah van hasil wang simpanan, tetapi semuanya musnah sekelip mata akibat tsunami.

“Lebih menyedihkan apabila rumah itu baru tiga bulan diduduki, dan ia lenyap dari pandangan,” katanya yang sudah kering air mata mengenangkan kembali kesusahan yang dialami.

Walaupun pasrah dan reda dengan ketentuan Ilahi, Ramli kerap termenung apabila terkenangkan keluarganya, terutama ketika ulang tahun pertama kedatangan tsunami, esok.

FAKTA NOMBOR

3,630.69 km jalan rosak

25% daripada 35.5 km jambatan yang
ada di Aceh rosak atau musnah.

5,365.7 kilometer persegi keluasan Aceh

4.1 juta penduduk Aceh mengikut bancian 2002, kini dianggarkan tinggal 3.9 juta.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: