Krisis SIKAP di Institusi kesihatan..


MENGAPA HARUS BEGINI?

“Emak awak mesti menjalani pembedahan craniectomy!”, itulah kata doktor pakar tempat saya merujuk kes emak. Nama craniectomy itu sudah cukup menggerunkan saya. Tempurung kepala emak saya akan ditebuk untuk merawat bahagian yang sakit. Selepas itu tulang yang telah ditanggalkan itu tidak akan dipasang semula. Bahkan bahagian yang berlubang itu hanya akan ditutup dengan kulit kepala semata-mata. Aduh, tak terbayang hendak melihat emak derita. Saya termenung. Semuanya bermula sejurus selepas kepulangan saya ke Malaysia. Semasa itu emak saya mengadu yang dia sering mengalami sakit kepala yang teruk. Kadang-kadang sampai menggigil dan berpeluh. Katanya, bilik tidur kadang-kadang seperti berpusing dan emak selalu rebah.

 

Abang-abang sudah berusaha membawa emak ke klinik. Selalunya, doktor di klinik akan memberikan emak saya tiga jenis ubat iaitu ubat penahan sakit, ubat angin dan ubat jalan darah. Maklumat-maklumat itu sungguh tidak membantu. Saya pergi ke klinik yang selalu emak kunjung untuk bertanya tentang jenis ubat yang diberikan selama ini kepada emak saya tetapi doktor terbabit enggan memberitahu. Saya melihat, motifnya ialah supaya saya tidak ke farmasi untuk membeli sendiri ubat tersebut. Inilah bahananya apabila sistem di Malaysia membenarkan doktor merawat dan membuat diagnosis di klinik serta menjual sendiri ubat sedangkan farmasi adalah disiplin ilmu yang berlainan. Malah di sana akan berlaku pelbagai conflict of interest kerana doktor sepatutnya memberi ubat yang paling berkesan dan murah, dan bukannya yang menjanjikan komisen dari syarikat pengeluar ubat terbabit.

Geram sungguh saya dengan respond klinik tersebut. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk membawa emak ke sebuah hospital pakar swasta. Di situ, emak saya dirujuk ke klinik ENT (Ear, Nose and Throat). Pelbagai ujian beserta CT Scan dan MRI diadakan. Wang sudah keluar beribu ringgit dan akhirnya kami tiba ke suatu konklusi iaitu emak saya mengalami sejenis penyakit yang disebut sebagai chronic suppurative otitis media (CSOM) iaitu jangkitan bakteria yang kronik di telinga tengah. Ia telah menyebabkan struktur telinga emak rosak, di samping lapisan tempurung kepala yang turut terjejas. Jangkitan juga telah merebak ke pelbagai struktur nerve dan ia telah menyebabkan lidah emak menjadi agak senget. Apa yang pasti, telinga kanan emak sudah tidak boleh mendengar lagi.Saya berasa sangat sedih. Kes emak telah dirujuk ke bahagian neurology dan akhirnya doktor pakar terbabit telah mencadangkan agar emak saya menjalani pembedahan kepala yang disebut sebagai craniectomy dengan belanja RM9 ribu ringgit.

Oleh kerana emak sudah tidak berdaya menanggung sakit, beliau dengan berat hati menyatakan persetujuannya untuk menjalani pembedahan tersebut. Akan tetapi, saya bertekad untuk mendapatkan pandangan kedua di dalam hal ini.

Syukur Alhamdulillah, isteri saya seorang doktor dan kami pula hidup bertahun-tahun di dalam masyarakat perubatan di Ireland. Ramai kawan yang kini sudah menjadi doktor pakar dan mereka memberikan pelbagai pendapat. Melalui beberapa orang rakan, saya membawa ibu ke sebuah hospital universiti di Kuala Lumpur. Ibu saya dirujuk ke bahagian ENT. Namun, hasil bacaan mereka kepada imej CT Scan dan MRI, mereka menjadi keliru. Tambahan pula emak saya tidak demam dan tidak berasa sakit, kecuali ketika diserang pening kepala tersebut sahaja. Akhirnya doktor pakar dari pelbagai jabatan berkumpul dan mengadakan mesyuarat.Mereka sampai kepada keputusan bahawa emak saya tidak perlu menjalani pembedahan craniectomy yang berisiko tinggi itu. Cukup sekadar rawatan intensif antibiotic infusion (drip) selama kira-kira 6 minggu. Emak saya perlu menerima antibiotik CIPROBAYR (ciprofloxacin) selama sekurang-kurangnya 6 minggu.Syukur Alhamdulillah pembedahan tersebut dapat dielakkan. Maka pada bulan Ramadhan itu, yang merupakan Ramadhan pertama saya di Malaysia selepas 11 tahun merantau di luar negara, saya berulang Ipoh ke KL hampir tiga kali seminggu. Ketika itu isteri saya pula baru sahaja melahirkan anak kami yang kedua dan saya sentiasa berada di dalam keadaan tersepit antara isteri dan anak-anak di Ipoh dengan emak yang sedang terlantar di hospital berkenaan di KL.

Sepanjang berada di hospital tersebut, pelbagai insiden berlaku. Saya diberitahu oleh pihak hospital bahawa emak saya perlu menjalani Gallium Scan iaitu prosedur imbasan yang dilakukan dengan cara memasuk sejenis bahan radioaktif Gallium ke dalam tubuh emak saya. Tujuannya adalah untuk mengukur tahap keberkesanan antibiotik tersebut. Namun, stok Gallium di Jabatan Perubatan Nuklear sudah habis dan ia perlu dipesan dari England. Ibu saya dikehendaki membayar pesanan tersebut yang mencecah hampir RM2000.

Abang saya cuba bertanya kepada jururawat tentang Gallium Scan tersebut. Sekadar ingin mengetahui komplikasinya. Tetapi jururawat telah membalas soalan abang saya dengan sindiran yang cukup menyinggung perasaan. Ketika doktor membuat ward round, jururawat terbabit berkata, “hah, inilah dia orangnya doktor. Tanya ini, tanya itu. Doktor cubalah terangkan kepada dia.” Biadap sungguh jururawat tersebut yang memuncungkan bibirnya sambil jari menunding ke arah muka abang saya.Saya juga berasa amat terkilan kerana beberapa pagi dalam seminggu, doktor pakar runding (consultant) akan datang ke katil emak saya bersama pelajar-pelajarnya. Mereka bercakap di dalam Bahasa Inggeris sehingga meresahkan ibu saya. Good Morning tiada, salam jauh sekali.

Tiba-tiba sahaja consultant tersebut berkata, “makcik, jelirkan lidah!”. Pelajar-pelajar tersebut akan membelek-belek lidah emak saya sambil mendengar penjelasan doktor.Saya tidak dapat membayangkan betapa hinanya emak saya diperlakukan sedemikan rupa. Setaraf tikus putih di makmal sahaja gayanya. Semasa saya dirawat di hospital di Ireland, setiap kali doktor atau jururawat datang ke katil saya, mulut mereka begitu manis dan ringan untuk mengucapkan kata-kata yang mempamerkan nilai kemanusiaan dalam diri mereka. Apalah salahnya jika diminta izin terlebih dahulu dan selepas pemeriksaan selesai, ucapkan terima kasih kepada emak saya kerana mahu bekerjsama.

Memanglah emak saya hanya orang kampung, tetapi ia bukan alasan untuk doktor tersebut berlaku biadap. Apatah lagi di hadapan pelajarnya. Secara tidak langsung dia mengajar etika negatif itu kepada anak-anak muridnya dan tunggu sahaja 10 tahun dari sekarang, pelajar tersebut akan meneruskan tradisi buruk itu selepas bergelar doktor.Tidak cukup dengan itu, tragedi bersiri terhadap sikap petugas hospital kepada emak berlarutan di Jabatan Radiologi. Oleh kerana tangan emak saya sudah bengkak-bengkak dan tidak lagi mampu menerima antibiotic infusion (drip), maka emak saya dikehendaki menjalani suatu prosedur ringkas angioplasty untuk menanam satu tiub di dalam lengan emak saya. Tiub ini akan digunakan untuk memasukkan antibiotik kerana emak saya akan menjalani rawatan tersebut untuk tempoh 3 minggu lagi.

Saya bergegas datang dari Ipoh sebelum subuh lagi, kerana emak saya dijadualkan untuk menjalani rawatan tersebut pada jam 8:30 pagi. Setibanya di hospital, saya menyorong emak ke Jabatan Radiologi dan kami menunggu giliran di kerusi yang disediakan. Saya menjenguk senarai nama pesakit di bilik rawatan tersebut. Nampaknya hanya ada tiga orang pesakit yang akan menjalani prosedur angioplasty dan emak saya di giliran yang kedua.

09:30…

10:30…

11:30…

Wah, selepas tiga jam menunggu, tiada sebarang khabar berita. Emak saya sudah mula pening kerana keletihan duduk di atas kerusi roda. Saya mula panas hati dan menjenguk ke kaunter.

“Assalamualaikum nurse. Emak saya dah berada di sini sejak jam 8:15 pagi dan sekarang sudah hampir 12 tengah hari. Apa yang berlaku?”, saya cuba mendapatkan penjelasan.

“Encik duduk dulu, nanti saya periksa apa yang berlaku”, jawab jururawat tersebut.

Selepas 15 minit, tiada sebarang respond yang saya terima. Emak sudah agak lesu dan seperti mahu rebah. Tambahan pula dengan cuaca yang agak panas ketika itu.

Akhirnya saya pergi ke pintu masuk bilik pentadbiran jabatan dan mengintai-intai kalau ada sesiapa yang boleh saya ajukan soalan. Tiba-tiba seorang lelaki mengarahkan seorang jururawat menutup pintu di hadapan batang hidung saya. Hati saya sudah tengah hari, panas membakar seperti mahu merentungkan sesuatu.

Saya menahan pintu itu dari ditutup dan meminta izin untuk berjumpa dengan doktor di dalam. Alhamdulillah jururawat tersebut bersetuju membawa saya berjumpa dengan doktor tersebut. Baru sahaja saya mahu membuka mulut bertanya, saya diserang oleh doktor tersebut dengan bahasa yang kasar.

“Eh, awak ingat kerja doktor ni senang ke? Awak tak nampak ke saya tengah buat prosedur ni? Ini kes kecemasan, kalau tidak dilakukan sekarang, tangan pesakit ni mungkin terpaksa dipotong!”, dia menengking saya sambil menunjukkan imej tangan seorang pesakit yang sedang berada di dalam bilik pembedahan.

“Itu saya faham, doktor. Kerja doktor memang susah. Isteri saya pun doktor juga. Saya tahu kesusahan dia. Tapi…”. Belum pun sempat saya menghabiskan ayat itu, doktor tadi menyambung lagi herdikannya kepada saya.

“Hah, baguslah kalau begitu. Tahu pun. Habis tu kenapa awak tak boleh duduk diam di luar tu. Kerja doktor ni bukannya kerja bank, faham???”, tegasnya dengan bahasa dan muka yang angkuh.

Saya sudah hilang sabar.

“Hey, you listen to me. Yes, me and my mom are not doctors, neither nurses and not even medical students. But that does not make me and my mom stupid like some kind of a kampung stuff. Awak tu doktor, berurusan dengan manusia. Bukannya pegawai bank. Kalau kerja bank tak apa. Awak nak biadap ke, nak kurang ajar ke, urusan awak adalah dengan mesin duit dan kertas. Tapi awak doktor. Awak berurusan dengan manusia. Emak saya tu manusia, bukannya tunggul…”

“Saya cuma nak tahu, apa yang berlaku? Emak saya sudah lebih 4 jam menunggu di luar sana. At least hantarlah seorang nurse untuk beritahu kami kalau awak ada emergency. Kami bukannya bangang sangat sampai tak boleh faham explaination nurse awak!”, muka saya sudah merah padam.

Doktor tersebut seperti agak terkejut. Mungkin jarang-jarang sekali dia diherdik. Maklum sahaja, sudah jadi doktor pakar. Tahu serba serbi. Hingga rasa orang lain semua di bawah hidungnya.Saya berasa sedikit menyesal kerana itu bukan sikap biasa saya. Tetapi apabila doktor tersebut menghina saya begitu sekali, saya kira mempertahankan maruah diri adalah bukan perkara kecil.

10 minit selepas itu, emak dibawa masuk ke bilik rawatan. Prosedur hanya memakan masa 10 minit sahaja dan emak keluar dengan wajah yang terpinga-pinga.

“Kenapa emak?”, saya bertanya.

“Entahlah, doktor tu kata dia nak tukar kerja di bank pula selepas ni”, jawab emak.

Saya hanya tersenyum sendirian. Kelucuan statement doktor itu kepada emak saya masih belum dapat meredakan kemarahan saya terhadap peristiwa hari tu.

Banyak lagi peristiwa yang berlaku selama 6 minggu emak berada di hospital tersebut. Saya berpesan kepada isteri saya, “kalau awak tidak boleh menjadi doktor yang pakar dalam klinikal, saya tidak bersedih, tetapi peliharalah budi bahasa awak semasa berurusan dengan pesakit ketika di hospital nanti.”

Saya cuba membayangkan, seandainya isteri saya bukan doktor, seandainya kawan-kawan saya bukan doktor, bagaimanakah nasib emak saya? Bagaimana nasib ribuan malah jutaan anggota masyarakat yang tidak mengenali sebarang doktor dalam hidup mereka?

Syukur, Jumaat baru-baru ini saya berpeluang untuk menyampaikan kuliah motivasi kepada kakitangan wad kecemasan di Hospital UKM termasuklah isteri saya. Peluang ini akan saya gunakan untuk berkongsi pandangan tentang permasalahan yang membelenggu kita semua iaitu MASALAH SIKAP!

PENGAJARAN
Semasa kuliah motivasi tersebut, saya diajukan dengan satu soalan yang menarik.Mengapakah masyarakat Barat yang rata-rata tidak bertuhan, mempunyai etika kerja yang baik? Mereka berhemah dengan pesakit, mereka bersikap profesional di dalam kerjaya. Sedangkan kita di Malaysia tidak begitu. Walhal kita beragama Islam. Maka jika begitu keadaannya, mengapa perlu untuk kita kembali kepada Islam untuk meningkatkan prestasi kerja? 

 

Soalan ini penting untuk dijawab secara jujur oleh kita semua. Untuk cemerlang di dalam pekerjaan, sesiapa sahaja yang mengkaji akan bersetuju bahawa kuncinya ialah pada SIKAP. Kita mesti membina PR, skill interpersonal, kemahiran berkomunikasi dan lain-lain etika kerja yang positif. Masyarakat Barat telah menyedari akan hal ini lantas mereka memupuknya secara terpeinci. Jika di Amerika Syarikat, pendekatan 7 Habits oleh Covey, diajar di peringkat sekolah. Mereka diajar supaya profesional dalam pekerjaan. Akhirnya mereka boleh menjadi seorang doktor yang cemerlang di hospital, tetapi bukanlah suami atau isteri yang baik di rumah. Dia boleh mengendalikan sebuah syarikat yang mempunyai 500 pekerja tetapi gagal menguruskan seorang isteri dan dua anak di rumah. Seorang pramugari boleh memberikan senyuman yang paling manis kepada penumpang sebuah kapal terbang, tetapi mungkin masam mencuka setiap kali pulang kepada keluarga. Maka akhirnya, jika dinilai pada kualiti kerja, mereka berjaya walaupun tanpa AGAMA.

Akan tetapi bagaimana dengan kita umat Islam? Kita mengambil agama hanya sebagai ritual dan bersangkutan dengan hukum hakam semata-mata. Kita tidak lihat agama sebagai pembentuk sikap. Seumpama seorang yang belajar hadith, sibuk menghabiskan masa menentukan kesahihan hadith tetapi tidak memikirkan bagaimana caranya isi hadith tersebut patut diamalkan. Kita belajar tentang Solat dari segi syarat sah, wajib dan sunatnya, tetapi kita tidak peduli tentang bagaimana Solat boleh membentuk sikap positif dalam kehidupan. Apabila bercakap tentang akhlak, kita fokus kepada faedah ikhlas, sabar dan tawakal tetapi kita tidak perhaluskan teknik menanam keikhlasan, kesabaran dan tawakal itu. Agama kita menjadi pengetahuan semata-mata, pengetahuan yang memberiTAHU. Bagaimana dengan soal MAHU? Apatah lagi MAMPU? Maka akhirnya, kita mahir tentang hukum hakam tetapi akhlak kita buruk. Apabila saya sebut akhlak buruk, saya tidak merujuk kepada perbuatan mengumpat, mengkhianati majikan, curi tulang atau gangguan seksual di tempat kerja semata-mata. Malah akhlak yang buruk itu ialah pada kegagalan interpersonal skill kita, kecelaan budi bahasa, perbuatan memandang rendah orang lain, buat kerja sambil lewa dan sebagainya.

Akhirnya kita celik HUKUM tetapi buta SIKAP.

Masyarakat Barat tak peduli hukum. Walaupun mereka boleh cemerlang di dalam kerja, tetapi kehidupan mereka binasa oleh arak dan zina. Kecerdikan mereka hilang dan berubah menjadi binatang apabila alkohol dijamah. Mereka sudah tidak pedulikan dosa pahala, lantas gereja menjadikan dosa sebagai bisnes melalui pengampunan dosa yang ditawarkan. Saya rasa kita boleh bersetuju yang masyarakat Barat hari ini sedang duduk di dalam sebuah rumah yang dimakan anai-anai pada tiang-tiang serinya. Institusi keluarga musnah, 2004 melihat lebih 50% anak yang lahir di Britain, tanpa bapa. Mereka lebih selesa bersekedudukan tanpa perkahwinan kerana mendapat faedah potongan cukai dan lain-lain yang tetap sama dengan pasangan yang berkahwin. Walhal, jika bergaduh, proses cerai adalah amat sukar dan menelan belanja ribuan Pound.

Tetapi saya bimbang dengan trend terkini masyarakat kita, iaitu: HUKUM PUN TAK TENTU HALA, SIKAP PUN ENTAH APA-APA!

Adakah sesiapa yang mempedulikannya?

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: