Kapal Terbang Plastik


Oleh MOHD. ROSHDI HASSAN

KETIKA Perang Dunia Kedua, London telah dibom dengan teruknya oleh roket-roket Jerman. Disebabkan Jerman telah menakluki Perancis dan Belgium, maka Britain terpaksa mencari jalan untuk membina pesawat perang yang boleh terbang pergi dan balik dari Britain hingga ke Jerman tanpa perlu mengisi minyak.Akhirnya jurutera mereka telah mereka cipta pesawat perang daripada kayu kerana keperluan waktu perang tidak mensyaratkan pesawat tersebut digunakan dalam tempoh yang lama.

Dengan menggunakan badan daripada kayu, pesawat Spitfire telah dapat mengurangkan beratnya sehingga 2000 pound (907 kg) jika dibandingkan versinya yang dibina daripada besi dan aluminium. Lebih ringan pesawat tersebut, lebih jimat bahan api yang digunakan. Dan akhirnya pesawat ini dapat dibina dengan pantas dan ia telah digunakan untuk membawa bom dari Britain dan digugurkan di bandar-bandar di Jerman. Banyak bandar musnah dan akhirnya Jerman terpaksa mengaku kalah.

Dalam merekabentuk sesebuah pesawat, satu prinsip yang perlu dipegang adalah weight is enemy (berat adalah musuh). Kapal terbang yang berat akan menyebabkan pesawat tersebut tidak boleh terbang jauh kerana bahan api yang tidak mencukupi.

Satu contoh yang jelas adalah, pengurusan Air Asia X telah memaklumkan kepada bakal penumpangnya bahawa pesawatnya akan singgah di negara Teluk bagi mengisi minyak kerana kapasiti tangki pesawat yang mereka gunakan tidak mencukupi untuk menampung penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke London/Manchester.

Airbus A380 juga menghadapi masalah yang sama. Di samping masalah wayar elektrik, pesawat tersebut menghadapi masalah yang lebih besar iaitu kelebihan berat sebanyak 4 tan metrik apabila semua komponen dipasang untuk tujuan penerbangan komersial.

Untuk mengatasi masalah berat dalam pembinaan pesawat, para penyelidik Barat telah merekabentuk satu bahan baru yang dipanggil komposit. Komposit ini dihasilkan melalui gabungan lebih daripada satu jenis bahan sama ada daripada unsur logam atau bukan logam. Namun yang popular digunakan dalam pembinaan pesawat adalah daripada unsur bukan logam seperti unsur plastik atau polimer.

Susun atur bahan ini ketika proses pembuatan menjadikan ia boleh memberi kekuatan melebihi kekuatan unsur logam. Di samping kelebihan dari segi ringan, struktur yang diperbuat daripada komposit ini juga mampu menyekat berlakunya rekahan yang lazimnya berlaku dengan pantas dalam unsur logam. Ia juga lebih murah kerana penghasilannya hanya berlaku di kilang dengan tindak balas kimia.

Bahan komposit ini sudah lama digunakan dalam pembinaan pesawat ringan. Airbus telah memulakan satu langkah terkehadapan dengan menggunakan 25 peratus pesawat Airbus A380 daripada unsur komposit. Mereka telah menemui satu bahan baru yang dipanggil Glare yang lebih kukuh dari aloi aluminium yang selalu digunakan dalam pembinaan pesawat.

Pesawat Boeing yang baru yang dipanggil Boeing 787 Dreamliner yang dalam proses pembinaan, akan menggunakan 80 peratus bahan komposit. Hanya komponen tertentu seperti enjin sahaja yang menggunakan bahan logam dan selebihnya bahan plastik. Pesawat ini yang boleh memuatkan penumpang antara 223 hingga 330 yang akan menggantikan Boeing 777 dijangka mula beroperasi pada Mei 2008. Ia dijangka dapat menjimatkan penggunaan bahan api sehingga 20 peratus jika dibanding dengan pesawat lain yang hampir sama dengannya. Sehingga kini Boeing telah menerima lebih kurang 450 tempahan bagi pesawat ini.

Untuk berdepan dengan saingan ini, Airbus telah melancarkan pesawat terbarunya di Farnborough Air Show baru-baru ini yang diberi nama Airbus A350 XWB (Extra Wide Body). Pesawat yang boleh membawa penumpang antara 270 hingga 350 ini akan mula beroperasi pada tahun 2013. Pesawat ini dibina daripada 72% unsur komposit. Sejak dilancarkan Airbus telah menerima lebih kurang 100 tempahan bagi pesawat ini.

Selain dari badan pesawat, banyak lagi unsur plastik diperkenalkan seperti kerusi, cermin tingkap, peralatan elektronik, panel dalam kabin, karpet dan sebagainya. Menjadikan pesawat itu ringan adalah matlamat utama dalam reka bentuk pesawat baru kerana ia akan memberi keuntungan lebih besar kepada syarikat penerbangan yang menggunakannya.

Ketika makan malam bersama pakar-pakar enjin jet di Paris baru-baru ini, seorang profesor dari Cambridge University menyatakan kekesalan di atas sikap beberapa syarikat penerbangan yang masih tidak tahu menghargai usaha jurutera di seluruh dunia untuk menjimatkan bahan api pesawat. Sikap mereka yang masih lagi menggunakan botol minuman yang diperbuat daripada kaca telah menyebabkan usaha jurutera selama ini tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Saya dapati Penerbangan Malaysia (MAS) juga tidak terkecuali dalam masalah ini kerana mereka masih lagi menggunakan bekas makanan dan minuman yang diperbuat daripada kaca agar kelihatan lebih berprestij. Namun saya yakin, dengan menggantikan bekas kaca tersebut dengan bekas plastik akan dapat memberi penjimatan sekurang-kurangnya 1 peratus kepada penggunaan bahan api pesawat. Dalam laporan kewangan 2004/2005, MAS membelanjakan lebih RM3 bilion untuk bahan api. Oleh itu, anggaran nilai 1 peratus bagi syarikat besar seperti MAS sebenarnya adalah penjimatan sehingga berpuluh-puluh juta dalam kos operasinya selama setahun.

* DR. MOHD. ROSHDI HASSAN ialah kakitangan Universiti Putra Malaysia yang sedang berkhidmat di Rolls Royce UTC, University of Sheffield, United Kingdom. ”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: