Resipi: Ayam tumis


ADA di antara kita mungkin sudah ketandusan idea untuk memasak ayam. Selain daripada masakan biasa seperti kari, kurma atau rendang, ayam biasanya digoreng begitu saja. Satu petua untuk menyedapkan ayam goreng ialah memerapnya terlebih dulu dengan rempah-ratus.

Untuk mendapatkan lapisan luar yang rangup, salut dengan tepung berperisa atau tepung berempah. Adalah lebih elok sekiranya kulit ayam dibuang terlebih dulu. Ini kerana ia mengandungi kandungan lemak yang tinggi. Pastikan minyak gorengan bermutu dan terbaik. Minyak hendaklah banyak untuk menggoreng terendam supaya salutan pada ayam tidak terasing.

Masakan ayam kali ini amat mudah membuatnya. Anda tidak perlukan masa yang panjang kecuali masa memerap. Sekiranya hendak diperap semalaman atau lebih daripada empat jam, anda perlu meletakkannya di dalam peti sejuk iaitu di atas rak. Jikalau anda tidak suka menumisnya, bolehlah dipanggang di atas bara api.

Bahan paling utama untuk menyediakan masakan ini ialah kicap. Pilihlah kicap yang manis dan agak pekat. Fungsi kicap cair adalah memasinkan masakan selain memberikan rasa. Sementara kicap pekat atau kicap hitam adalah untuk menggelapkan warna masakan. Ia memang pekat tetapi tidak begitu manis. Kini sudah ada kicap khas untuk menggoreng mi atau mihun. Ia ada campuran semua jenis kicap dan memberikan warna yang elok untuk bahan gorengan tersebut.

Pes cili juga memainkan peranan penting dalam semua jenis masakan. Jikalau anda kesuntukan masa, bolehlah membeli pes cili atau cili boh yang sudah siap dikisar. Bagi yang gemar menggunakan cili kering, ada kaedah yang perlu anda ikuti.

Pertama, gunting serong cili kering. Keluarkan sebanyak mungkin bijinya. Ini akan mengurangkan kepedasan. Untuk cili yang lebih pedas, pilih yang berbentuk keriting. Sebaik saja semua biji dikeluarkan, rendam potongan cili dengan air mendidih. Tutup dan biar selama 20 minit atau sehingga cili nampak lembut.

Kemudian kisar dengan air masak (biar sejuk) dan garam. Setelah diletakkan di dalam bekas bertutup, tuangkan sedikit minyak di atas permukaan cili kisar tadi. Ini akan melambatkan ia menjadi rosak. Cili kisar yang dibeli kadangkala mempunyai terlalu banyak bahan pengawet yang boleh mengakibatkan kerosakan sistem penghadaman.

Setelah memerap ayam, minyak mesti dipanaskan terlebih dulu. Gunakan periuk atau kuali yang mempunyai penutup. Jika menggunakan bekas memasak kalis lekat (non-stick), tidak perlu menggunakan minyak langsung. Masukkan semua bahan tadi dan kacau rata. Masak dengan api sederhana. Jika terlalu kuat, ayam akan hangus di bahagian bawah.

Sebaik saja air ayam terbit dan isinya berubah warna, tuangkan air. Anda tidak perlu habiskan tetapi memadai menutupi kira-kira sepertiga ayam tadi. Setelah dikacau rata, perlahankan api dan tutup kemas. Kacaulah sekali-sekala supaya ayam di bahagian atas akan tenggelam pula di dalam kuahnya.

Bagi yang gemarkan kuah yang banyak, bolehlah ditambah air lagi. Namun begitu kuah banyak bererti ia akan cair sedikit. Jika kuahnya sedikit, ia akan nampak pekat. Memang enak dimakan bukan saja dengan nasi tetapi juga dicicah roti. Jika ayam dipotong agak kecil, ia akan mudah masak dibandingkan dengan potongan besar.

Selain tomato, boleh juga ditambah dengan hirisan cili merah dan daun bawang untuk menyerikan lagi masakan ini. Seandainya ayam sudah sempurna masaknya tetapi kuah masih cair, anda perlu keluarkan semua ayam. Kemudian kuatkan api dan biar kuahnya mendidih selama beberapa minit sehingga nampak pekat.

Walaupun masakan ayam ini sangat mudah, rasanya enak dan sesiapa pun boleh cuba untuk memasaknya. Ia pasti akan menjadi kegemaran keluarga anda!

Sumber: Kosmo

Tags: , , ,

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: